Monday, November 1, 2010

Gejala Buli

Gejala perlakuan ganas di kalangan pelajar yang semakin hangat dibicarakan di dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini menunjukkan betapa ianya perlu tindakan segera oleh pihak-pihak tertentu agar ianya tidak terus menular. Perlakuan buli merupakan sejenis perlakuan salah laku yang boleh meninggalkan kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi dan kemajuan akademik pelajar yang dibuli. Kertas kerja ini selain membincangkan tentang jenis-jenis perlakuan buli, juga akan mengutarakan aspek-aspek penting yang mempengaruhi dan yang berkaitan dengan tingkah laku buli ini. Buli dikatakan sering berlaku di dalam bilik darjah, di padang, di koridor, di dalam dewan, di kantin dan juga di dalam tandas. Terdapat banyak punca yang menyumbang kepada perlakuan yang tidak sihat ini umpamanya pengaruh persekitaran dan rakan-rakan. Langkah-langkah pencegahan turut diketengahkan yang dirasakan sesuai dilakukan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam membendung keadaan ini. Persekitaran sekolah yang selesa dan selamat amat diperlukan dapat menjana proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna bagi pelajar.

 Empat jawatankuasa tangani gejala disiplin sekolah
EMPAT jawatankuasa bertindak di bawah Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid (JIMGDM) terus menggiatkan usaha menangani disiplin pelajar - walau kadar kesalahan jenayah dan salah laku semakin menurun tahun ini.
Keempat-empat jawatankuasa bertindak tersebut telah menerima dan mengkaji lebih 250 cadangan awam dan seterusnya merencanakan program jangka pendek sederhana dan panjang.
Melalui empat jawatankuasa ini, sejumlah RM6.1 juta telah dipohon untuk melaksanakan program dan aktiviti berkaitan hal itu.
Hal ini termasuklah perancangan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan sejumlah 132 program kokurikulum serta pembangunan sahsiah murid peringkat kebangsaan pada sepanjang tahun.
Program tersebut melibatkan aktiviti kokurikulum, disiplin murid, pendidikan pencegahan dadah, kebajikan dan kesihatan, bahasa, kebudayaan dan kesenian, kelab dan persatuan, penggalakkan sains dan teknologi, lawatan dan pertukaran murid, pendidikan luar dan badan beruniform.
Menurut Memorandum Kabinet Menangani Gejala Disiplin Di Sekolah yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 26 April lalu, usaha mempergiatkan aktiviti Rakan Cop di sekolah juga dilaksanakan dengan kerjasama polis.
``Pihak polis bersetuju membantu dan pegawai aduan di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran telah dihantar meninjau operasi Rakan Cop ini,'' katanya.
Menurut memorandum itu, kerjasama antara polis dan kementerian juga diperhebatkan melalui mekanisme Pegawai Perhubungan Sekolah, Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah (KPJS).
Untuk memerangi gejala ponteng sekolah, kementerian dan polis bersetuju supaya masalah ponteng sekolah diangkat kepada jemaah menteri kerana aspek undang juga perlu dilihat, dan ada kaitan dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada peringkat yang lebih luas, JIMGDM bersetuju supaya diwujudkan majlis permuafakatan antara Kementerian Pelajaran dan pihak polis di semua peringkat kementerian, negeri, daerah dan sekolah.
Ketua Pengarah pelajaran dan Ketua Polis Negara akan mempengerusikan majlis ini di peringkat kementerian.





Dari semasa ke semasa, terdapat kes buli fizikal ekstrem yang berlaku di kalangan pelajar sekolah yang mendapat perhatian media.Kes ekstrem ini menyebabkan percubaan membunuh diri, kecederaan parah dan juga kematian.
Contoh-contoh buli fizikal ialah menolak, menampar, memukul atau memeras ugut. Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan, ia bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan.
Dalam kajian yang pernah penulis lakukan ke atas 2,600 orang pelajar dari 26 sekolah menengah dari dua buah negeri, didapati mereka yang melaporkan terlibat dengan kegiatan membuli (fizikal dan psikologi) adalah tinggi.
Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu pelopor dalam kajian buli di dunia, sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10-15 peratus ia dianggap serius.
Terdapat pelbagai sebab kenapa pelajar membuli. Sebahagian besar daripada pembuli mengatakan mereka membuli pelajar lain kerana seronok-seronok.
Malah ada pembuli yang bangga menyatakan dia ketua buli di sekolahnya!
Ada pembuli menyatakan mangsa memang patut dibuli dan yang lain pula menyatakan mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan. Sebab mereka membuli ialah kerana marah atau benci kepada mangsa.
Pelajar baru di sekolah adalah individu yang selalu menjadi mangsa buli. Pelajar yang disayangi guru tidak akan digemari rakan.
Bagi kes buli fizikal, mereka yang berbadan kecil menjadi mangsa. Tidak mahu berkongsi alat tulis atau memberi idea untuk membuat kerja rumah turut menjadi sebab membuli.
Bagi pelajar asrama pula, bentuk buli juga berlaku dengan meminta mangsa membasuh baju mereka, mencuci tandas atau mengambil makanan dari kantin. Mereka yang lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris turut tidak disenangi.
Berlainan
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah mereka yang menjadi mangsa ialah pelajar yang tidak disukai kerana mereka berlainan daripada pelajar majoriti.
Apabila ditanya kepada pihak sekolah seperti guru kaunseling, guru disiplin atau pengetua, pelajar yang menjadi pembuli tidak berminat dengan pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.
Dari segi latar belakang keluarga, pembuli dikatakan datang dari keluarga yang bermasalah, tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa atau terlalu dimanja. Pihak sekolah juga menyedari pelajar baru turut menjadi sasaran.
Untuk menangani masalah buli, sekolah perlu mengakui bahawa masalah ini wujud dan ia menyakitkan pelajar. Mangsa tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka tahu cerita mereka tidak akan dipercayai dan mereka tidak dijamin perlindungan.
Terdapat empat peringkat untuk menangani masalah buli.
Peringkat pertama ialah tahap sekolah, kedua tahap kelas dan ketiga tahap individu.
Bagi peringkat sekolah, langkah pertama ialah sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli.
Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapat respons yang lebih tinggi tentang perkara ini, identiti pelajar hendaklah rahsia.
Kedua, sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli.
Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa.
Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, beberapa petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli dan talian telefon atau alamat e-mel untuk melaporkan insiden buli.
Mereka yang boleh membuat laporan bukan sahaja mangsa tetapi juga saksi.
Ketiga, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu dibentuk.
Antara ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.
Keempat, perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat PIBG.
Bagi peringkat kelas pula, satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan apa pula hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya.
Setiap pelajar diberikan senarai peraturan tersebut dan mereka hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah.
Dari semasa ke semasa, guru hendaklah membincang tentang isu buli dengan pelajar.
Bagi peringkat individu, ia melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.
Seterusnya, guru kaunseling boleh mengadakan sesi main peranan tingkah laku empatik atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan asertif pula perlu diadakan dengan mangsa.
Sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan dengan serius tentang masalah buli dan cuba melaksanakan bagaimana hendak mengatasinya atau menghalangnya daripada berlaku.
Kita tidak perlu menunggu kes ekstrem yang lain untuk berlaku sebelum kita berbuat sesuatu untuk memastikan kawasan sekolah selamat (psikologi dan fizikal) untuk anak-anak kita.
- Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub ialah Presiden Persatuan Psikologi Malaysia.